Rabu, 27 Ogos 2014

Dua Acara Besar Mewarnai Sukan Pelayaran Malaysia di Bulan Ogos: Menyentuh Youth Olympic Games- Nanjing 2014

Dua perkara besar mewarnai sukan pelayaran negara bulan Ogos ini dengan bermulanya kejohanan Youth Olympic Games yang bermula dari 16hb Ogos hingga 28hb Ogos 2014. Satu lagi acara penting dalam bulan Ogos ini adalah Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) 2014 yang telah berlangsung pada hari Sabtu 23hb Ogos 2014.

Isu kali ini akan menyentuh berkaitan keputusan di Kejohanan Youth Olympic Games yang mulai mendapat beberapa rasa.....pahit-pahit manis.. Isu yang juga disentuh dengan beberapa kritikan pandangan dapatan dari beberapa wakil negari semasa mesyuarat AJK sebelum bermulanya AGM MYA.

Untuk makluman pasukan perahu layar negara menyertai 2 acara sahaja dari 4 acara iaitu Byte CII Lelaki dan Perempuan yang telah melepasi kelayakan semasa di Kejohanan Kelayakan YOG bagi zon Asia di Langkawi pada Februari lepas. Asri Azman mewakili kelas Lelaki dan Nur Shazrin bagi kelas Perempuan. Tiada penyertaan untuk 2 lagi acara windsurfing Bic Techno. Pasukan bergerak dengan hanya atlet (2 orang) dan seorang pegawai (Coach Hadri-Acai). Agak memeranjat untuk games  sebesar ini hanya Acai sorang dipertanggungjawabkan, Walaupun kumpulan atlet adalah kecil tetapi bebanan menguruskan atlet untuk kejohanan sebesar ini adalah sangat tinggi. Mungkin kuota yang ditetapkan oleh MOM (Majlis Olimpik Malaysia) telah dipenuhi... kekadang sukan sebegini ada banyak pegawai-pegawai yang kelihatan kurang relevan dihantar menyebabkan keperluan yang lebih penting agak terabai.

Bagi acara perahu layar yang bermula pada 18hb Ogos telahpun berakhir pada 23hb Ogos di hari yang sama semasa AGM MYA. Keadaan angin bertiup perlahan dan tidak menentu di Tasik Jinniu Lake yang menjadi venue bagi kejohanan ini. Perlumbaan yang dijadualkan sepatutnya berjalan sebanyak 10 Opening Series races dengan 1 medal races tidak dapat dijalankan sepenuhnya. Akhirnya keseluruhan 8 races sahaja dapat dijalankan tanpa medal race. Keputusan yang dicapai oleh pelayar kita adalah seperti berikut:

 

Nor Shazrin mendapat tempat ke-6 dan Asri ke-8 dari keseluruhan 30 atlet negara-negara yang mengambil bahagian. Keputusan ini adalah membanggakan kalau dilihat dari segi jumlah penyertaaan juga keputusan beberapa negara besar sukan layar lain tetapi disebabkan oleh kerana negara asia yang lain juga turut menguasai sebahagian besar pingat 3 emas dari 4 yang dipertandingkan (China: Bic Techno 293 Perempuan, Singapura apatah lagi dengan 2 emas Byte Lelaki dan perempuan) diikuti dengan Thailand berada di tangga ke-5 di hadapan Asri bagi Byte Lelaki maka pencapaian mereka dianggap merosot (tidak membanggakan) dan mulai menjadi buah mulut malah turut dipertikaikan/dikritik semasa mesyuarat AJK oleh wakil negeri. Apatah lagi jika dilihat dari keputusan Asri yang DSQ (Race 1 tempat ke-7) dan DNE (Race 4 tempat ke-5) maka ia sebenarnya akan menggondol emas. Keinginan dan keghairahan  Asri untuk melakukan yang terbaik terutamanya selepas DSQ di race pertama mengundang kepada kesilapan di race ke-4. Atlet yang sama saya dapati melakukan kesilapan yang sama semasa di SUKMA baru-baru ini... yang mengundang masalah kepada dirinya. Dilihat dari mata kasar ia seolah-olah kesilapan bodoh tetapi rasanya energy level yang ia bawa bersama dengan tahap kebimbangan untuk melakukan recovery mungkin menjerumuskan atlet kepada apa yang berlaku.... apa-apa pun hanya ia sendiri yang tahu apa sebenarnya dan saya membuat tanggapan tidak ada atlet yang tidak mahu meraih kejayaan untuk dirinya dan juga untuk negara. 
Apa yang berlaku hasil dari YOG ini sebenarnya sangat penting untuk kelas Byte kerana itulah halatuju kenapa kelas tersebut diwujudkan di peringkat kebangsaan. Sampailah kepada masanya untuk mengimbas, membuat analisa, melihat dengan lebih mendalam, menjiwai apa yang telah dirangka, dirancang, pelaksanaan, evaluasi swot dan membuat ketetapan apakah perlu dilakukan dan hendaklah dilakukan. 
Kita boleh mengkritik/hentam-hentam manja tetapi menghentam membuta tuli tanpa benar-benar mengerti, atau mendengar dari satu pihak apatah lagi yang memang tak sebulu... pun tak molek juga. Apa yang lebih penting apa yang dapat kita lakukan dalam membantu ke arah yang lebih baik mengkritik sambil memberi buah idea itu yang lebih afdal... Mungkin kritikan kita/pandangan kita boleh diterima pakai atau ditambah baik dalam program penyediaan atlet. Tidak dapat dinafi terdapat banyak kelompongn yang berlaku di sana sini dalam program atlet kebangsaan yang perlu diatasi tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh nafikan akan pencapaian-pencapaian yang membanggakan kita yang telah dicapai oleh atlet kebelakangan ini yang tidak tercapai pada masa-masa lepas. Terkini Sukan Asia yang berada di hadapan kita tidak berapa lama lagi adalah kemuncak kepada penyediaan atlet yang telah disediakan kira-kira 3 tahun yang lepas.

Sebelum menutup tirai kita buka pintu untuk semua warga pelayaran memberikan komen/buah pandangan dan pendapat tuan-tuan berkaitan khususnya YOG ini dan lain-lain hal berkaitan pembangunan pelayaran dalam negara khasnya.

Lain-lain keputusan boleh diperolehi dari laman ISAF: Keputusan YOG_Nanjing 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan