Ahad, 17 November 2013

Liga Layar Malaysia Satu Kenyataan 2

Berikut adalah suntingan petikan yang juga dipetik dari akhbar yang sama sebelumnya, kenyataan dari Pengarah Majlis Sukan Negara Dato' Zulkeples Embong. Saya menghidangkan kedua bagi menjadi tatapan penuh anda dalam menyelami dan mengambil faham dari keduanya.



MSN bakal melancarkan Liga Layar Malaysia
MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan melancarkan program pembangunan Sukan Pelayaran yang lebih komprehensif dengan memperkenalkan Liga Layar Malaysia dan Program Belia Belayar bagi melahirkan atlet-atlet yang dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada masa depan.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata program terbaru itu adalah satu inisiatif yang dijalankan seiring penganjuran Kejohanan Piala Monsoon bagi tujuan menyediakan platform kepada pelayar-pelayar tempatan untuk belajar, bersaing dan mempersiapkan diri untuk menjadi juara dunia.
"Liga Layar Malaysia akan dianjurkan secara liga pusingan di setiap negeri dan pelayar yang mengumpul mata tertinggi akan mewakili negara ke Kejohanan Piala Monsoon. Program ini dijangka dapat dijalankan sepenuhnya mulai tahun depan.
"Program Belia Belayar pula dianjurkan bersempena Liga Layar bertujuan memupuk minat dan memberi pendedahan awal kepada anak-anak muda tempatan untuk menceburi sukan ini, seterusnya mengembangkan bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MSN semalam.
Zolkples berkata, sukan pelayaran adalah antara sukan yang sering menyumbangkan pingat di peringkat antarabangsa khususnya di Sukan SEA dan Sukan Asia, manakala atlet-atlet pelayaran juga pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik menerusi Kevin Lim (Sukan Olimpik 1996, 2000, 2004 dan 2008) serta Mohd. Khairulnizam Mohd. Afendy yang layak ke Olimpik London 2012.
Menurutnya, MSN sentiasa memberikan tumpuan terhadap pembangunan sukan pelayaran sebelum ini terutama dengan menyediakan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi yang kini digunakan untuk program latihan atlet elit dan pelapis kebangsaan. Setakat ini, seramai 17 atlet elit dan 20 atlet pelapis sedang menjalani latihan di bawah kendalian lima jurulatih sepenuh masa.
"MSN juga dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Pelayaran Negeri telah menubuhkan 13 pusat latihan di seluruh negara, membabitkan 249 orang atlet. Mereka semua menjalani latihan harian di bawah kendalian 19 orang jurulatih yang telah dikenalpasti.
"Dengan adanya penganjuran Liga Layar Malaysia ini, ia akan memberi peluang dan pendedahan kepada atlet-atlet negeri untuk bersaing secara konsisten, sekali gus dapat meningkatkan prestasi mereka untuk bersaing di kejohanan yang lebih besar.
"Sukan pelayaran perlu mempunyai struktur pertandingan yang tersusun dan kompetitif di semua peringkat. Sehubungan itu penganjuran pertandingan perlu diperbanyakkan bagi membantu atlet-atlet pelapis dan elit negara mematang serta mempersiapkan diri sebelum menghadapi kejohanan yang lebih besar.
"Penganjuran Liga Layar Malaysia itu pula akan menyaksikan sukan ini dapat dipopularkan secara tempatan dan menarik minat anak muda untuk menceburi sukan berkenaan di bawah program Belia Belayar yang dianjurkan secara seiring nanti.
Katanya, penyertaan bagi Program Belia Belayar adalah terbuka kepada kanak-kanak dan remaja tempatan dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 2,000 orang di setiap lokasi. Program itu akan diadakan selama empat hari merangkumi gabungan kelas dan sesi di air dengan menekankan aspek-aspek asas pelayaran, demonstrasi pelayaran, latihan dan sesi perlumbaan di kalangan peserta.
Menurut Zolkples, program pembangunan sukan pelayaran terbaru MSN ini juga akhirnya akan dapat mewujud atau menaiktaraf kemudahan sukan pelayaran di seluruh negara, membangunkan saluran bakat sukan ini dengan membuka lebih banyak peluang dan akses kepada generasi muda untuk turut serta selain meningkatkan prestasi atlet sedia ada menerusi liga yang dianjurkan.
Menurutnya, MSN akan bekerjasama erat dengan Persatuan Pelayaran Malaysia untuk menjayakan program berkenaan yang juga bertujuan menambah kemahiran dan pengetahuan jurulatih-jurulatih tempatan agar lebih kompeten di dalam mengendalikan latihan dan persediaan atlet-atlet mereka.
------------------------------------------------------------------------
Ketua Pengarah MSN itu berkata, Liga Layar Malaysia dan Belia Belayar bagaimanapun tidak dapat diadakan mengikut perancangan awal iaitu di setiap negeri pada tahun ini kerana kesuntukan masa.
Bagaimanapun ia tetap akan diadakan bersempena Kejohanan Piala Monsoon di Kuala Terengganu iaitu pada 15 hingga 18 November ini untuk Liga Layar Malaysia dan penganjuran Belia Belayar pula akan diadakan pada 19 hingga 22 November ini.

Dapatkan rrtikel Penuh di untuk missing note ------: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2kutkS2uE
Hakcipta terpelihara 

Yang manakah? antar keduanya?

1 ulasan:

  1. Wow...hebat! Speechless....macam tak percaya jea...harap2 sukan windsurf pun termasuk dalam senarai, jangan berterusan dianaktirikan...

    BalasPadam