Ahad, 17 November 2013

Liga Layar Malaysia Satu Pernyataan 1

Kali ini ingin lari dari beberapa topik utama yang sedang hangat diperkatakan. Saya ingin menghidangkan kepada anda berkenaan 2 artikel berkaitan dengan salah satu lagi acara terbesar negara yang sedang berlangsung iaitu siri Liga Layar Malaysia iatu salah satu acara yang dahulunya dikenali dengan Monsoon Cup tetapi telah di re branded dan diberi nafas baru.
Acara ini rasanya agak kurang menarik pada tahun dari segi pelaksanaan penganjurannya atas sebab iainya dilakukan pada saat-saat akhir menyebabkan promosi tidak dapat dijalankan dengan lebih awal dan lebih menyeluruh. Beberapa masalah terutama berkaitan dengan persefahaman pada peringkat tertinggi negara bagi membolehkan acara tahunan yang menelan belanja terbesar mengalahkan perbelanjaan sepanjang tahun MYA berjaya mencapai sasaran jangka panjang yang ditetapkan selain dari sasaran menaikkan nama negara dari segi penganjuran acara-acara hebat dunia, daya tarikan pelancong iaianya juga kemudiannya mensasarkan kepada pencapaian terbaik negara dari segi pencapaian atlet pada keseluruhannya.

Berita yang dipetik dari akhbar Kosmo Online, satunya adalah pernyataan dari syarikat penganjuran Innovatige Sdn Bhd:

Memperkasakan sukan pelayaran
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


SUKAN pelayaran kini bukan sahaja diceburi golongan berada tetapi turut menjadi kegilaan setiap lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.



KETIKA Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim berada di Australia, beliau menyaksikan sukan kapal layar didominasi oleh pelayar pelbagai latar belakang tidak kira golongan kaya atau miskin.
Melihat kepada senario unik itu, Tunku Laksamana Johor itu terdetik sesuatu.

Beliau terfikir mengapa tidak suasana serupa berlaku di tanah air sendiri.

"Saya tidak menolak andaian bahawa sukan kapal layar sinonim dengan golongan elit.
"Namun, saya rasa tiada sesuatu yang mustahil jika sukan kapal layar menjadi sukan mesra rakyat seperti sukan bola sepak yang diminati oleh sesiapa sahaja, tidak mengira latar belakang kerana bagi saya di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

"Saya juga berpandangan, jika ada inisiatif dan sokongan daripada pelbagai pihak di negara ini, nescaya sukan kapal layar mampu menjadi antara acara sukan popular di Malaysia," katanya ketika ditemui dalam satu wawancara khas dengan Kosmo! Ahad di Johor Bahru semalam.
Iltizam Tunku Abdul Jalil itu membuktikan beliau seorang yang berpandangan jauh.
Katanya, sebagai seorang pencinta sukan kapal layar, beliau tidak gentar untuk menongkah arus dengan mahu membuktikan sukan pelayaran tidak tertakluk kepada golongan berada semata-mata.
Sebagai detik permulaan, selaku Pengerusi Innovatige Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang hak Piala Monsoon 2013, Tunku Abdul Jalil berkata, beliau bukan setakat membawa pelayar terkemuka datang ke Malaysia.
Malah, turut berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menguruskan program Belia Belayar dan program Liga Layar Malaysia pada tahun ini yang akan diadakan sebelum Piala Monsoon berlangsung.
"Langkah kerajaan untuk menganjurkan Belia Belayar bertepatan dengan hasrat Innovatige untuk memupuk minat dan memberi pendedahan kepada anak-anak muda tempatan untuk menceburi sukan ini.
"Ia juga merupakan satu platform terbaik untuk mengembangkan bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya yang berpengalaman belayar di beberapa buah negara termasuk di Sweden sebelum ini.
Ujar Tunku Abdul Jalil, seperti yang telah diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini, program Belia Belayar akan dilaksanakan terlebih dulu di Pulau Duyung pada 19 hingga 21 November ini.

TUNKU Jalil mempunyai minat yang mendalam dalam sukan pelayaran.



Sejurus selepas itu, beliau berkata, program ini akan digerakkan secara berterusan di seluruh Malaysia termasuk di Johor.
"Kami akan memberikan sokongan kepada usaha kerajaan menjayakan program ini. Kita mempunyai perancangan untuk menjelajah ke sekolah-sekolah rendah, menengah mahu pun kampus untuk mencari bakat baharu dan seterusnya melatih mereka di bawah kendalian jurulatih-jurulatih profesional yang dilantik.
"Saya juga akan turun padang untuk terlibat sama dan saya juga menjemput pelayar-pelayar di luar sana untuk sama-sama berkongsi kepakaran yang mereka ada bagi menjayakan program ini," katanya yang sedang mencari lokasi-lokasi bersesuaian untuk dijadikan pusat latihan.
Sementara itu, bagi Liga Layar Malaysia, jelas Tunku Abdul Jalil, ia merupakan liga pusingan di setiap negeri.
"Pelayar yang mengumpul mata tertinggi akan mewakili negara ke Kejohanan Piala Monsoon akan datang dan ia akan berterusan pada tahun-tahun berikutnya," katanya lagi.


Adakah sejarah akan berubah; diubah? Saksikan sambungan kepada topik ini untuk melihat Kenyataan ke-2



Tiada ulasan:

Catat Ulasan