Jumaat, 12 Julai 2013

Maklumat/n Berkaitan dengan Kursus Pilot Sukan Spesifik Tahap 3

Posting berkaitan dengan kupasan beberapa isu yang diperbincangkan oleh MYA telah bersambut salah satu darinya. Ianya berkaitan dengan Kursus dan latihan yang dirancang oleh MYA.

Walaupun beberapa kursus yang dijadualkan dalam kalendar MYA tidak berjaya dijalankan pada bulan April lepas atas alasan MSNegara tidak bersedia kerana persediaan yang tidak menentu dengan PRU ke-13 yang mana pada masa tersebut belum diumumkan.

Kursus yang akan dijalankan oleh MYA adalah seperti yang dinyatakan adalah Kursus Pilot Sukan Spesifik Tahap 3. Maklumat ringkas berkaitan dengan kursus adalah seperti berikut:
Nama Aktiviti: Kursus Spesifik Jurulatih tahap 3 (Pilot Course)
Tarikh Aktiviti: 26hb Julai hingga 03hb Ogos 2013
Venue: Pusat Latihan perahu Layar Kebangsaan (NSC) Langkawi

Maklumat detail boleh didapati di link ini: Surat Tawaran Kursus Spesifik Jurulatih Tahap 3

Ianya adalah kursus kejurulatihan bukan kursus bot seperti Perkara di dalam surat tawaran tersebut. Modul ini yang telah dirangka 4 atau 5 tahun sebelum ini  dan dimurnikan kalau tak silapnya pada tahun 2012 atau 2011 akhir berjaya juga diadakan.

Oleh kerana kursus ini merupakan kursus pilot maka penyertaannya adalah terhad. Mulanya saya agak keliru dengan kenyataan para 4 dalam surat tersebut yang menyatakan keutamaan akan diberikan kepada bekas pelayar kebangsaan telah diberikan penjelasan oleh GM MYA adalah dimaksudkan kepada jurulatih-jurulatih negeri/kebangsaan yang merupakan bekas pelayar kebangsaan sambung dari para 3. Sehubungan dengan itu komen yang saya berikan dalam email balas kepada MYA tidak lagi relevan dengan perkara yang dibangkitkan kerana ianya bersamaan dengan apa yang dinyatakan.

Juga rasanya MYA sendiri akan mengeluarkan senarai nama jurulatih yang akan terpilih untuk pilot course ini. Juga besar kemungkinan jurulatih yang terpilih dari pilot course ini juga nantinya ada yang akan dipilih sebagai jurulatih kursus pertama Spesifik Tahap 3 ini yang dijangka akan diadakan pada bulan September ini Insyaalah... (harap-harap jadilah). Jadi kepada sesiapamyang merasakan layak tetapi nama tak naik atau permohonan tidak diluluskan bolehlah memohon untuk menghadiri kursus yang pertama ini kelak.

Seperti biasa bagi setiap kursus maka syarat-syarat telah ditetap bagi membolehkan anda mengikuti kursus ini seperti yang dinyatakan di dalam surat tawaran tersebut. Apa-apa pun saya berpendapat penyertaan kursus ini sebenarnya adalah dalam sasaran kita menyediakan atlet perahu layar yang bertaraf  tinggi dalam negara melalui peningkatan tahap kualiti jurulatih dan yang paling penting sekali kita hendaklah memastikan peserta yang menghadiri kursus adalah jurulatih yang benar-benar menjalankan tugasan dan tanggung jawab sebagai jurulatih bukan sekadar hadir dengan tujuan ingin menambahkan sijil tetapi tidakpun pernah atau jarang-jarang sekali turun ke air... kalau boleh biarlah jurulatih yang mempunyai atletnya sendiri tak kira dalam apa jua program yang dijalankan. Seperti mana yang kita lihat lambakan individu yan mempunyai sijil Tahap 1 malah sijl Tahap 2 Spesifik  juga telah berlambak dalam negara sekarang tetapi adakah mereka ini benar-benar berfungsi dalam program pembangunan perahu layar dalam negara kita. Kita bukan tidak setuju sepenuhnya MYA berlembut dalam soalan ini kerana bagi sesetengah keadaan terutama kepada jurulatih negeri yang liat untuk menghadiri kursus kejurulatihan atas masalah tertentu, boleh kiranya MYA berlembut tetapi hendaklah dengan bersyarat supaya kualiti yang ditetapkan akan tercapai. Bagi Kursus Tahap 3 ini bagi saya kualiti adalah lebih penting untuk dijadikan sasaran berbanding dengan sasaran kuantiti. Kalau Tahap 1 tu kira oklah kerana kita nak seramai yang mungkin yang membantu melahirkan atlet pada peringkat akar umbi tetapi bukan seramai mungkin yang ada sijil sahaja.

Kejohanan MSSM adalah contoh terbaik kita dapat melihat timbulnya beberapa jurulatih 1 musim dalam setahun iaitu hanya musim kejohanan MSSM sahaja selepas itu sepi dan tunggu tahun depan pula untuk melihat mereka semula. Sesuatu yang lebih jitu sepatutnya dirangka oleh Pengerusi Teknik MSSM yang baru (cikgu Halim dalam perkara ini) untuk menyelaraskan program bersepadu jurulatih-jurulatih guru ini memandangkan ianya merupakan orang penting dalam MYA dan juga MSSM, tetapi dimana lambakan jurulatih-jurulatih guru yang lain begitu juga dengan kebanyakan individu lain yang kadang-kadang sampai 2 kali datang kursus yang sama (mungkin lesen dah mati kerana tidak mengajar dan tiada atlet).

Terakhirnya MYA sepatutnya melaksanakan apa yang telah dipersetujui lama dahulu semenjak dari merangka modul Tahap 1 dan dimasukkan lagi semasa penyediaan modul Tahap 2, iaitu MYA mengeluarkan satu log aktiviti jurulatih yang perlu diisi sebelum layak memiliki sesuatu sijil (terutama kepada bukan jurulatih JPM dan JSM negeri), begitu juga dengan jurulatih harus memiliki sijil SPKKnya dalam masa yang ditetapkan (bermakna harus juga menghadiri Kusus Sains Sukan mengikut tahap yang sama) dan jika tidak dilakukan maka sijil yang dikeluarkan tidak sah dan perlu menghadiri kursus semula. Jika ini dapat dilaksanakan maka rasanya sasaran yang kita targetka berkaitan dengan melahirkan kuantiti atlet perahu layar berkualiti akan mencapai sasaran melalui proses peningkatan kualiti kejurulatihan. Tanggung jawab siapakah ini? Tepuk dada tanya selera.... di mana pengerusi Kejurulatihan kita... Ayuh bagi idea pelaksanaan anda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan