Rabu, 31 Oktober 2012

Pelayaran antara 11 sukan untuk Program 'RtR 2016'

Di petik dari Kosmo:

11 jenis sukan bawah 'RtR 2016'

AHMAD Shabery mengumumkan 11 jenis sukan yang dikenal pasti untuk program 'RtR 2016'.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti 11 jenis sukan untuk disenaraikan di bawah program pembangunan Olimpik 'Road to Rio (RtR) 2016', demikian menurut menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.
Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya akan memberi pertimbangan serius terhadap cadangan supaya tiga lagi acara sukan dimasukkan dalam program pembangunan Olimpik itu.
"Secara umum, 11 jenis sukan dikenal pasti tetapi tidak khusus lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Difahamkan, 11 jenis sukan itu ialah acara yang pernah menyaksikan penyertaan atlet negara pada temasya Olimpik lepas iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.
Program 'RtR 2016' adalah kesinambungan daripada program 'Road to London 2012' yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.
Ahmad Shabery berkata, tiga jenis sukan yang dicadangkan untuk disenarai dalam program 'RTR 2016' ialah golf, ekuestrian dan tinju.
Beliau berkata, pelbagai aspek akan diambil kira sebelum menyenaraikan tiga jenis sukan berkenaan, antaranya dari segi kos membiayai sukan itu serta sama ada ia berpotensi untuk bersaing pada peringkat Olimpik.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah jawatankuasa kecil akan dibentuk untuk mengenal pasti atlet yang layak disenarai dalam program itu yang bukan hanya bagi tempoh empat tahun, sebaliknya menjangkau sehingga lapan tahun.
"Sebab itu kita masukkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran dalam jawatankuasa itu (Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik Rio 2016).
"Ertinya, kami perlu memikirkan untuk tempoh lapan tahun. Hubungan kami bukan sahaja dengan MSN tetapi dengan sekolah sukan di negeri-negeri untuk melahirkan bakal atlet bersaing pada Olimpik.
"Kita perlu pendekatan menyeluruh. Sekolah-sekolah sukan ini akan menjadi kilang awal dalam melahirkan bakal atlet Olimpik dan kita akan melihat keperluan dan kemudahan yang ada di sekolah- sekolah itu," katanya.
Ahmad Shabery berkata, setakat ini, pihaknya tidak menetapkan sasaran pingat pada Sukan Olimpik 2016, sebaliknya sedang meneliti pendekatan yang boleh menghasilkan pingat emas pertama negara, jumlah pingat boleh dimenangi serta bilangan atlet kebangsaan yang layak secara merit bersaing pada temasya berkenaan.
Beliau berkata, kementerian juga mengalu-alukan peruntukan khas sebanyak RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.
Peruntukan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 pada 28 September lepas.
Di bawah program 'Road to London', sebanyak RM20 juta diperuntukkan dan Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat gangsa melalui Pandelela Rinong menerusi acara terjun 10 meter platform.

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti 11 jenis sukan untuk disenarai di bawah program pembangunan Olimpik 'Road to Rio 2016', kata menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek


Tiada ulasan:

Catat Ulasan